Masyarakat Melayu Loughborough

Menjana Jalinan Ukhuwah

Panduan ke UK

Permohonan sambung belajar

Untuk memohon menyambung pelajaran peringkat pasca-siswazah di UK, anda perlulah mematuhi garis panduan dan syarat yang telah ditetapkan oleh jabatan/universiti/penaja anda dari masa ke semasa. Anda dinasihatkan untuk menyelesaikan urusan permohonan sekurang-kurangnya 3 bulan dari tarikh pendaftaran. Loughborough mempunyai sebuah universiti iaitu Loughborough University. Bagaimana pun, terdapat sebuah lagi universiti yang terletak berhampiran iaitu University of Nottingham – Sutton Bonington Campus.

Disamping itu, anda juga perlu memenuhi keperluan universiti tempat anda belajar. Pastikan anda memenuhi keperluan seperti dokumen-dokumen yang diperlukan semasa memohon. 

 

Permohonan visa dan imigresen UK

Anda dinasihatkan untuk mematuhi arahan dan syarat yang dikehendaki oleh UK Visa & Immigration dari masa ke semasa ketika memohon visa untuk diri dan keluarga. Kegagalan anda untuk mematuhi ketetapan tersebut akan menyebabkan permohonan anda tidak diluluskan. Pastikan semua dokumen asal yang dikehendaki dikepilkan bersama berserta dengan salinan. Dokumen penting seperti surat tawaran universiti, CAS statement, sijil TB, sijil ATAS (bagi yang perlu), sijil IELTS dan financial affidavit hendaklah dibuat salinan. Salinan asal dokumen ini perlu apabila anda melalui imigresen dan pendaftaran. Kegagalan anda untuk membuat salinan akan mengakibatkan anda kehilangan dokumen tersebut dan akan memberi masalah ketika anda melalui imigresen dan pendaftaran nanti. Peruntukkan jumlah kewangan yang secukupnya untuk menampung perbelanjaan visa.

 

Menguruskan kedatangan anda ke UK

Anda dinasihatkan untuk menguruskan hal penginapan anda disini dengan lebih awal. Hubungi pihak kami jika anda memerlukan bantuan untuk menguruskan hal-hal penginapan. Kebiasaannya, warga Loughborough dan Kegworth menyewa dari agen perumahan swasta dan agen perumahan persendirian. Pastikan anda mempunyai peruntukan kewangan yang secukupkan untuk menyewa rumah disini. Pilihlah rumah yang mampu menampung jumlah bilangan keluarga anda. Anda perlukan alamat di UK untuk melepasi imigresen.

Apabila anda menempah tiket penerbangan, anda dinasihatkan untuk tiba di UK pada siang hari. Ini kerana kebanyakan pengangkutan awam dan persendirian tidak beroperasi di waktu malam. Kami boleh membantu anda menguruskan kenderaan sewa untuk mengambil anda dari lapangan terbang. Segala perbelanjaan kenderaan sewa akan ditanggung oleh anda. Bincanglah dengan pihak kami tentang bagaimana untuk menguruskan hal ini.

Pilihlah lapangan terbang yang berdekatan dengan destinasi anda – samada Birmingham Airport atau East Midlands Airport. Ini kerana tambang kenderaan sewa adalah lebih murah berbanding dengan Heathrow, disamping jarak masa yang lebih dekat.

 

Ketibaan anda di UK

Pihak keselamatan dikebanyakan lapangan terbang di UK adalah sangat ketat, justeru anda perlulah peka dengan syarat kastam dan imigresen UK sebelum tiba disini. Rujuk disini untuk kepastian dari masa ke semasa. 

Sebelum tiba di UK, pastikan anda membawa dokumen-dokumen yang diperlukan untuk melepasi saringan imigresen. Pastikan anda mempunyai salinan asal dokumen-dokumen berikut:

  • paspot dan visa
  • landing card – staf kabin akan beri anda landing card dan isi sebelum ke kaunter imigresen
  • surat tawaran universiti
  • CAS statement
  • sijil TB
  • sijil ATAS (bagi yang perlu)
  • financial affidavit
  • sijil-sijil pengajian

Selain itu, bawalah juga bersama:

  • surat nikah (bersama terjemahan) – untuk memastikan pasangan anda adalah ‘pasangan’ anda
  • sijil beranak anak (bersama terjemahan) – untuk memastikan anda tidak ‘seludup’ budak
  • lain-lain dokumen yang diperlukan dari masa ke semasa

Bagi anda yang membawa bersama ahli keluarga yang lain seperti ibu/bapa/adik-beradik/penjaga, anda perlulah membawa dokumen-dokumen yang membuktikan yang mereka adalah pelancong dan tidak mempunyai niat untuk menetap atau bekerja di UK. Kegagalan untuk mematuhi syarat tersebut akan mengakibatkan mereka dihantar pulang/tindakan undang-undang.

Memandangkan situasi sekarang yang begitu sensitif berkaitan isu pengganas/keganasan global, anda dinasihatkan untuk mengelakkan diri dari mengenakan imej-imej yang boleh mendatangkan syak oleh pihak imigresen. Berpakaianlah seperti orang awam biasa dan hanya semata-mata untuk memudahkan urusan kita sahaja.

 

Bermastautin sepanjang pengajian

Kebiasaannya universiti akan mengadakan pelbagai program bagi memudahkan pelajar baru menyesuaikan diri dengan persekitaran universiti, tidak kira pada sesi bila anda mendaftar. Rakan-rakan MML boleh membantu anda untuk anda menyesuaikan diri dengan tempat penginapan dan kawasan persekitaran.

Anda juga perlu mendaftarkan sekolah anak-anak anda yang berumur 3 tahun ke atas. Carilah sekolah yang berhampiran dengan kediaman bagi memudahkan anda menghantar dan mengambil mereka dari sekolah.

Anda juga perlukan kenderaan jika anda mempunyai keluarga. Untuk mempunyai kenderaan disini, pelbagai perkara perlu diambil kira. Janganlah segan untuk bertanya kepada warga MML sekiranya anda mempunyai kemusykilan tentang memiliki kenderaan disini. Juga ingin diingatkan bahawa lesen Malaysia boleh digunakan selama setahun dari tarikh anda masuk ke UK. Anda digalakkan untuk mengambil lesen UK semasa berada di sini bagi memudahkan urusan anda.

 

Menambah pendapatan?

Anda ingin mencari peluang bagi mengurangkan beban kewangan kerana perlu membayar sewa rumah, utiliti, internet dan sebagainya? Kos kehidupan di UK pada masa kini kian meningkat dari masa ke semasa. Mengapa tidak anda melakukan kerja sambilan?