Masyarakat Melayu Loughborough

Menjana Jalinan Ukhuwah


Leave a comment

Majlis Maulid Nabi 2013

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T. Tuhan sekelian alam. Tiada tuhan selain Dia dan Nabi Muhammad S.A.W adalah utusan-Nya. Dengan izin Allah S.W.T warga MML sekali lagi telah menjayakan majlis sambutan Maulidur Rasul 1434H yang diadakan pada 26 Januari 2013 yang lalu. Sambutan kali ini diadakan di Loughborough Islamic Centre, Forest Road, LE11 3HT. Program bermula pada pukul 3 petang dimulakan solat Asar berjemaah.

Kemudiaan diteruskan dengan pengisian Ceramah Maulid Nabi yang telah disampaikan oleh Y.Bhg. Ustaz Nik Hafiz Hassan. Ceramah yang disampaikan sangat memukau kehadiran ramai warga MML yang terdiri daripada pelajar postgraduate dan keluarga serta pelajar-pelajar undergraduate yang belajar di sekitar Loughborough. Ceramah yang disampaikan menyingkap kembali sejarah kehidupan Baginda Rasulullah S.A.W., keperibadian Baginda ketika kecil sehinggalah Baginda wafat yang mana Baginda sentiasa ditemani oleh keluarga dan sahabat-sahabat demi menegakkan agama Allah dibumi ini walaupun pelbagai halangan dan dugaan yang dihadapinya. Warga MML bukan hanya sekadar menyambut hari keputeraan Nabi, namun program seperti ini sedikit sebanyak telah memberi kesedaran betapa kerdilnya kita dan jauhnya kita jika dibandingkan dengan pengorbanan rasul Allah dalam menyebarkan dakwah kepada umat manusia ketika itu. Ustaz juga berpesan agar semua yang hadir supaya sentiasa istikhamah dalam menyebarkan dakwah kepada sesama kita dan juga di kalangan non-muslim di bumi UK dan juga dimana-mana sahaja. Tunjukkanlah akhlak dan keperibadian seperti Rasullullah dalam usaha untuk menunjukkan bahawa Islam ini adalah agama yang paling sempurna tiada agama yang setanding dengannya.

Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan selawat yang dipimpim oleh Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Fauzi Jumingan. Seusai selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. hadirin dijamu dengan makanan yang dibawa oleh warga MML. Majlis tamat selepas solat Magrib berjamaah pada pukul 5.30 petang.  

 

Laporan disediakan oleh Tuan Shafizal Mat.